Wednesday, October 24, 2012

"Aku datang kepadaMu Ya Allah"

Bismillah.

Secara batin lafaz itu boleh dibisikkan di hati sebelum tiba masanya lafaz itu dapat dizahirkan oleh segenap pancaindera lahiriah. Masa itu dalam ketentuan Allah Yang Maha Kuasa jua. Masa dan ketika di mana kami melaungkan lafaz talbiyah - Aku datang kepadaMu Ya Allah. Labbaik Allah humma labbaik.

Saat ini kalangan jemaah haji mula mendatangi Padang Arafah sedangkan kami tertinggal di sini. Mungkin masih banyak urusan kami yang belum selesai. Mungkin masih ada di sisi kami ini perkara yang belum beres pada pandanganMu Ya Allah. Lantaran itu kami masih di sini. Kami belum dihimpunkan di Arafah. Belum lagi.

Astaghfirullah. Semoga Allah ampunkan apa jua kesalahan yang ada dan semoga Allah sucikan apa jua yang tercemar pada diri ini zahir dan batin agar berlaku kelak pertemuan itu - kedatangan hamba kepada sang Penciptanya. Sambutan sang Khalik merai tetamuNya.

Betul kata Ustaz Kazim dan Dr. Ridhuan dalam rancangan Salam Baitullah malam ini. Haji mabrur itu bukan letaknya di kaabah tapi letaknya di hati. Walaupun benar hakikat itu, ia bukanlah penawar bagi mereka yang menunggu dan merindu panggilan haji - untuk kaki melangkah seraya lidah dan hati menyebut 'Aku datang kepadaMu Ya Allah'. Apakah sama berkata "Aku datang" sedangkan tiada langkah dihayun menuju syiar rukun Islam yang ke-lima itu?

Mungkin hikmah tiadanya jemputan atau belum adanya jemputan itu hanya kerana Allah jua yang mengetahui betapa bekalan menujuNya belum lagi mencukupi. Apakah yang sebenar-benarnya yang patut dibawa sebagai bekalan menemuiNya itu sudah difahami? Yang pasti antara bagasi yang tiada dapat tidak kami bawa nanti ialah bagasi dosa! Pun begitu kami andaikan hati yang menghina kelemahan diri, yang memperhamba diri, yang bertaubat dan kesal dengan segala perilaku dan bisikan keji, kami andaikan hati itulah yang akan kami bawa nanti tatkala kami berkata "Aku datang kepadaMu Ya Allah. Aku datang tanpa membawa secebis syirik. Aku datang kepadaMu Ya Allah. Sesungguhnya segala pujian dan nikmat itu milikMu, dan juga kekuasaan itu mutlak pada Mu."

Kekuasaan yang mutlak bagiMu Ya Allah yang menentukan siapakah di antara kami hamba-hambaMu ini yang layak berada di Tanah Suci saat ini di Padang Arafah. Kekuasaan mutlak milikMu Ya Allah siapakah yang Engkau mahu himpunkan di tanah lapang itu hingga sarat ianya dengan jiwa-jiwa yang pasrah, hiba, yang penuh sesal dan yang mengharap belas ehsanMu Ya Allah.

Apakah sepasang kaki ini suatu hari nanti akan turut berdiri di sana? Apakah hati ini suatu hari nanti akan meraung di sana? Apakah kedua tangan ini suatu hari nanti dapat kami tadah di sana? Apakah sepasang mata ini suatu hari nanti akan menangis dan menangis dan menangis di sana? Apakah mulut ini suatu hari nanti akan terkumat kamit berdoa di sana?

Apakah Kau akan mendengar dan menerima doa kami itu nanti Ya Allah? Apakah Kau akan menjadi saksi akan hati kami yang datang kepadaMu dalam keadaan sejahtera? Apakah kami ini akan datang kepadaMu Ya Allah dengan jiwa yang tenang, dengan jiwa yang redha pada Mu dan Engkau pun redha kepada kami?

Oh Ya Allah, dengarkanlah, bahawa hidup kami dan mati kami di mana jua dan bagaimana pun jua takdirnya, adalah untuk Mu Ya Allah. Dan jadikanlah penyaksian kami ini penyaksian yang benar lagi ikhlas di sisi Mu Ya Allah.

Ameen Ya Rabbal alamin.

آمين يا رب العالمين


No comments:

Post a Comment