Friday, August 23, 2013

Sumber cinta dan perdamaian

Bismillah.

Sekali-sekala sanubari nan paling dalam ingin juga bersuara dengan bahasa jiwanya. 

Pada hari penghulu segala hari ini, selayaknya diri bersyukur dengan nikmat daripadaNya yang tiada putus-putus Alhamdulillah wa shukrulillah. Allah beri nikmat "rumahku bagai shurgaku" dengan kesederhanaan yang ada. Allah beri bayu dingin malam nan damai.

Alunan tiga suara mendayu-dayu, berdendang 'Beribu Sesalan' -  "Sia-sia ku mencintai mu, setia padamu, percaya kamu, sebak dadaku, retak hatiku, luka jiwaku di hiris pilu..."
Itu kata-kata hati yang dikhianati. 

Tidak lama dulu kita mendengar pesanan seorang mu'alem yang disegani - Habib Umar bin Hafiz. Katanya: "Jadilah sumber perdamaian dan keselamatan terhadap orang di sekeliling kita. Biar orang merasa selamat daripada lidah kita, tangan kita dan mata kita. Dan jangan khianati orang dengan mata kita, pendengaran kita ataupun lidah kita."

Hari ini saya berkesempatan bertemu seorang tokoh wanita yang ramai di antara kita kagumi dan hormati - Prof. Dr. Muhaya Mohamad. Walaupun sekejap, jelas sekali beliau adalah sumber cinta dan perdamaian. Aura dan tutur katanya sarat kasih-sayang nan tulus. Terngiang-ngiang di telinga, biarpun pendek dan lazim perkataan yang keluar dari bibir manisnya: "Syukur pada Allah." 

Ya, shukur kepada Allah atas segala-galanya - yang baik mahupun yang kurang elok pada firasat kita.

Pepatah mengatakan: "Jangan biarkan pujian mencemari minda. Jangan biarkan cacian mencemari hati." Pun begitu saya gembira mendengar pujian ikhlas Prof. Muhaya. Kata orang, tidak mengapa jika manusia di jalanan mencaci kita kerana itu tiada nilainya. Kata-kata yang baik daripada manusia berbudi, itulah yang kita sanjung tinggi dan hargai.

Segala yang baik datang daripada Allah. Kita bershukur dengan yang sedikit, mudah-mudahan bertambah lagi. Saya terfikir, arwah bapa saya hanyalah orang biasa, bukan orang ternama, tetapi shukur kerana yang diwarisi ialah sifat bersangka baik biarpun terhadap orang yang berniat mengkhianati.

Semoga Allah terus merahmati manusia yang menjadi sumber cinta dan perdamaian kepada orang lain. Muhaya memang sebuah nama yang istimewa. Dengan tajalli sifat Al-Muhyi maka hiduplah mata-mata zahir yang kelam dan celiklah mata hati yang hitam.

Allahu a'lam.



p/s

Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Walau dusta membawa mehnah
Budi yang baik dikenang juga

[mehnah = berasal daripada perkataan Arab yang bermaksud ujian berat/bala]

No comments:

Post a Comment