Bismillah.
Bersih warna hatimu
muncul tiba-tiba bagai suria
niat ikhlas dikabul Tuhan jua
senyuman meleret membahagiakan yang disapa
Diriku tidak seistimewa mana
untuk seseorang berniat bertemu
seribu rahsia tersimpan
beribu duka disembunyikan
di celahan jemari menaip kata-kata
Tahun kelima ke udara
bermacam wajah insan singgah bertandang
yang gelap matahatinya menabur cerca
kekadang pujian datang tiada sepadan
buat empunya diri kurang senang
hidupku hidupmu sama sahaja
ada kala panas terang benderang
ada masa mendung
guruh berdentum, petir bersabung
Cerita peristiwa biasa biasa saja
zahirnya tampak serupa
mutiara tersembunyi di dasar lautan
apa jua riak di permukaan
harus selam sedalam-dalam
demi mencari keindahan
dan betapa pun pahit ceritera
bagaimana hambar sekalipun rasa
wajar dikupas setiap kelopak kehidupan
lalu dicicip kemanisannya
Putih sesuci fitrah mu
hadir bawa sentuhan harapan
yang terluka disembuhkan
semangat yang hilang dikembalikan
No comments:
Post a Comment