Saturday, September 7, 2013

Sebesar hati | Ghaibkan pandangan mereka




Bismillah.

Sebesar hati yang bisa menampung Dia
Sedalam jiwa yang menyimpan seribu rahsia
Gagahkan dirimu menyapa takdirNya
Menentang arus pemikiran manusia
Menepis pandangan sinis mereka yang terkongkong akal oleh stigma

Wahai jiwa
Berdirilah atas kebenaran
Sesuatu yang dibenarkan agama
Sesuatu yang dianjurkan Nabi
Tiada perlu kepada justifikasi
jika ia membawa manfaat
buat agama diri kendiri
dan kepada agama hendaklah berbudi

Tuhan jua yang mengetahui semua
Tuhan jua yang mengampuni segala
Tiada erti kebaikan, jika Dia membenci
Tiada bernilai khilaf jika Dia meredhai
"Oh Tuhan, Kau lakukan apa saja ke atas ku,
akan ku dakap takdirMu,
selagi diri tidak tergolong bersama mereka yang Kau murkai."

******

Alhamdulillah wa shukrulillah. Semalam kebetulan saya menghadiri majlis ta'lim yang dipimpin oleh guru yang kita muliakan Shaykh Fahmi Zamzam al-Maliki. Majlis anjuran Ba'alawi Kuala Lumpur.  

Shaykh Fahmi seperti biasanya adalah ibarat air dingin yang mengubati jiwa yang haus. Semalam beliau mengupas hikmah Kitab Al Hikam berhubung pandangan manusia. Berikut antara butiran nota saya:

Engkau hilangkan atau ghaibkan pandangan makhluk kepada engkau. Makhluk memandang pada perbuatan engkau tetapi jangan kau ambil kisah kerana mereka tidak dapat memberi apa-apa kesan terhadap engkau. Pandangan makhluk tidak dapat membawa untung. Bahkan ia mungkin dapat merosakkan pahalamu. Oleh itu jangan diambil kira pandangan makhluk. Dalam beramal, hanya ambil kira pandangan Allah. Allah mengetahui perbuatanmu yang sekecil-kecil dan sebesar-besar. Allah yang akan memberi pahala sedangkan makhluk tidak dapat berbuat apa-apa.

Orang yang riak adalah orang yang mengambil kira pandangan manusia, yakni orang yang menuntut harga diri di hati manusia. Riak bererti lihat. Shaykh Fahmi berpesan, biar di antara kita dengan manusia hancur tetapi kita dengan Allah betul. Memetik kata-kata Rabiatul Adawiyah: apa saja di atas bumi ini, nilainya tanah. Kenapa diambil kira pandangan tanah? Cukuplah kita dengan pengetahuan Allah. Cukuplah Allah mengetahui perbuatan kita kerana Dia yang akan membalasnya.

Anggaplah makhluk seperti orang mati. Yang mematikan ialah Allah. Yang memberi rezeki ialah Allah. Apa gantinya? Cukuplah bagi engkau musyahadah iaitu engkau berhadap kepada Allah. Bagi diri orang yang ikhlas, mereka hanya mahukan zat Allah. 

Tidak mungkin kita dapat memuaskan hati manusia. Manusia hendak berkata apa saja kepada kita, itu terpulang kepada mereka. Imam Ghazali berkata: yang banyak merosakkan manusia ialah manusia. Engkau boleh bersama manusia hanya untuk perkara kebaikan sahaja. Cukuplah engkau dengan pandangan Allah. 

Hilangkan darimu "iqbal"nya yakni berharapnya manusia terhadap kamu. Ibn Mas'ud berkata: Jika engkau tahu apa yang aku lakukan setelah aku menutup pintu, tiada siapa pun yang akan menghormati diriku.

Martabat ikhlas yang tinggi ialah yang tidak mengambil kira pandangan makhluk. Sesiapa yang mengenal yang Benar, maka dia akan musyahadah Allah pada segala sesuatu. Dia akan teringatkan khaliknya. 

Maqam baqabillah ialah bagi orang yang melihat kedua-dua Allah dan makhluk. Sebagai contoh, apabila melihat duri buah durian, dia merasa takut akan sifat Qahar Allah kerana dia mungkin terkena duri tersebut. Begitu juga bila melihat harimau, ular dan sebagainya, dia merasa takut akan sifat Jabbar dan sifat Muntaqim Allah. Orang yang berada di maqam baqabillah, tatkala dia melihat sesuatu itu, dia akan mengenal Allah dan mengenal kebesaran Allah.

Tahap yang lebih tinggi ialah fanafillah iaitu bagi mereka yang ghaib dari segala sesuatu. Seperti nukilan di dalam salawat al-Mashish: "...sehingga aku tidak melihat dan mendengar, kecuali dengan Allah...". Begitu juga dengan ayat yang menyebut tentang Allah yang melontar. Ini semua menunjuk kepada fahaman wahdatul wujud.

Sesiapa yang mencintai Allah, setelah mengenal Allah, dia tidak akan melebihi yang lain selain daripada Allah. Apabila disebut nama Allah, nescaya bergetar hatinya. Sesiapa yang kenal Allah, dia tidak akan melebihi yang lain kerana yang menguntungkan dirinya ialah Allah; yang menghidupkan dan mematikan ialah Allah; yang memberi rezeki ialah Allah. Ini lah orang yang makrifat kepada Allah. Perumpamaamnya ialah Allah itu sangat dekat dengan engkau, sebab itu tidak nampak.

Shaykh Fahmi juga mengupas tentang adab berdoa. Engkau mendapatkan sesuatu itu bukanlah kerana doamu. Jika Allah mengerjakan sesuatu itu dengan sebab (dengan sebab kau berdoa) maka itu tandanya Allah bersifat kedekut. Doa kita ialah sebagai menzahirkan kehambaan kita kepada Allah. Allah akan beri mengikut kehendakNya dan mengikut masa ketentuanNya. Jika Allah tidak kabulkan permintaan kita pun tidak mengapa kerana Allah lebih mengetahui perkara yang jauh ke hadapan. Bila Allah hendak beri, itu ikut suka Allah. Sebenarnya, apa yang Allah tidak beri, itulah juga pemberian Allah. Allah tidak akan menganiayai kita tetapi Dia akan membuat yang terbaik untuk kita. Jangan anggap Allah itu perlukan kepada alasan yakni Allah memberi kerana kita meminta. "Inayah" atau perhatian Allah kepadamu bukan kerana sesuatu yang terbit daripadamu, tetapi semata-mata kerana kurnia Allah. Kita dilahirkan sebagai umat Muhammad, ini adalah kurnia Allah semata-mata. Kurniaan Allah itu letak di mata Abu Bakar dan tidak di mata Abu Jahal. Semuanya kerana petunjuk daripada Allah dan bukanlah kerana kita ini pandai. Ramai orang yang pandai, tetapi mereka tidak pun mendapat petunjuk Allah.

Sekian.
Allahu a'lam.

******

p/s Nota ini saya usahakan khusus untuk mereka yang tidak dapat hadir ke majlis walaupun berniat menghadiri. Semoga Allah memberikan kita kurniaNya yang besar lagi hebat. Amin.

No comments:

Post a Comment