Tuesday, September 12, 2017

Perjalanan menujuNya | Ya Halim

Bismillah.

Maha Penyantun, Al Halim, itu antara Nama Terindah milikNya. Dan atas rahmat kurniaNya jua ada kala kita diberi rasa dan diberi nampak akan sifatNya yang satu ini, melalui orang-orang di sekeliling kita, juga peristiwa.

Semalam, seorang hamba Allah yang diberi darjat kebesaran di kalangan manusia, bergelar Sultan telah pergi menujuNya. Kuasa mutlak Allah untuk memuliakan sesiapa sahaja hamba pilihanNya. Sejarah menjadi bukti betapa sesetengah daripada kalangan kita diberi peluang luar biasa, melebihi yang lain. Maha suci Allah lebih tahu darjah ketakwaan hambaNya, lalu diberi penghormatan di alam dunia. Maha suci Allah lebih tahu ketinggian santun hambaNya, lalu diberi keutamaan berbanding yang lain.

Hati dan mata yang mengenali keluhuran budi seorang Sultan - yang sering mendahulukan rakyat jelata serta negeri/negara dalam keadaan uzur apatah lagi sihat - hati itu pasti merasa sedih dan mata itu pasti menangisi permergian ruh nan istimewa - Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah (1927-2017).

Memegang tampuk kesultanan negeri Kedah hampir sama waktunya dengan usia kemerdekaan Malaysia. Satu-satunya Raja yang menjadi Yang Dipertuan Agong sebanyak dua kali. Siapa yang mengetahui dan yang mengenali biarpun dari kejauhan, pasti akan mengakui keistimewaan Almarhum Sultan Abdul Halim.

Manusia mati meninggalkan nama. Hanya mereka yang istimewa meninggalkan jasa serta budi yang dikenang penuh kesyukuran. Budi dalam bentuk contoh teladan mahupun secebis kebahagiaan.

Sebagai seorang rakyat biasa, dan sebagai anak kelahiran Pulau Pinang saya bersyukur di atas "buah tangan" istimewa daripada Almarhum, yakni Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah yang menghubungkan sekeping tanah yang asalnya milik negeri Kedah jua. Kasih sayang nan luhur pasti saja terus berhubung, berpisah tiada. Kesantunan seorang Raja seumpama baginda Almarhum, akan dikenang sentiasa, tak mungkin hilang di perjalanan masa.

Al Fatihah
Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah
(1927 - 11 September 2017)





     
Wahai Tuhan yang Maha Penyantun
Ya Halim
janganlah Kau uji kami dengan cubaan yang tak tertanggung;
Wahai Tuhan yang Maha Mengetahui
Ya Alim
janganlah Kau murka dengan kami walaupun Kau lebih tahu akan kesalahan kami;
Wahai Tuhan yang Maha Tinggi
Ya Aliy
angkatlah kedudukan kami dengan redhaMu;
Wahai Tuhan yang Maha Agung
Ya Azim
jadikanlah hati kami sentiasa tunduk terhadap kebesaranMu
dengan penuh pengharapan akan kurniaMu.

Aameen.


***
Note to our foreign readers:
The above is a eulogy on the passing of one of the most notable Sultan, Malaysia has ever had.
You may read about His Highness here:
http://www.thestar.com.my/news/nation/2017/09/11/a-sultan-of-many-interests/
https://www.nst.com.my/news/nation/2017/09/278689/sultan-abdul-halim-passing-peoples-king


No comments:

Post a Comment