Wednesday, October 30, 2019

Gurindam Wahai Saudara

Bismillah.

Wahai Saudara,
Aku di sini lebih lama
Atas jemputan Al Muqaddim,
Si Pemula segala gerak,
Si Empunya gedung tawfik
Sang Pengatur semua, atas inayahNya

Demi guru-guru pembimbing
Aku nyatakan di sini pesan-pesan mereka
Bahawa diamlah engkau berteman Yang Qadim
Berpaut di dahan meninggi ke langit
Dengan hati nan pasrah
Bak amanat seorang Murabbi
'Merendah diri lah,
kerana ilmu tidak berhimpun di tempat tinggi.
Ibarat air
yang hanya bertakung di lembah.'

Telah aku bermula bersama Al Awwal
Setia ke akhir, denganNya ku pohon
Jadi apalah hendak dihairankan
pada watak-watak yang tidak pernah diundang datangnya?
Apalah ertinya, pujian manis bersulam dusta?
Di mana nilainya, pada yang datang dan pergi?
Si Muhaddas tak mengerti diri
Menyinggah menitip fitnah
Lantas berlalu, terbang bak debu-debu
Tiada meninggalkan bekas apa pun

Sedangkan yang Haq
akan tetap berkata-kata
Biarpun tanpa dia, dia dan dia
Dan tanpamu, saudara.

Selagi aku kenal dan kekal bersama Yang Qadim
Bahagiaku, tidak berpaksi penanda aras ciptaanmu
Allah Hu, Dia bersamaku.
Itu cukup memadai bagiku!

- E.Ismail
Lisan al-Din
10 tahun mengimbau pengajaran
2009 - 2019
***

"Seandainya Allah perlihatkan pahala kesabaran, pasti banyak manusia yang berlumba-lumba mendekati ujian."
- Habib Umar bin Hafiz
@Pena_Tarim



No comments:

Post a Comment