Saturday, March 21, 2020

Kembali kepada yang bererti

Bismillah.

Dalam keheningan malam, dalam kecelaruan suasana, dalam kekalutan dunia, naluri kita acap kali membawa diri kembali kepada yang bererti. Yang bererti itu adalah sesuatu yang mendamaikan, sesuatu yang meyakinkan, suatu kebenaran yang tiada ragu padanya.

Saya terpanggil untuk kembali ke sini untuk beberapa ketika, menjenguk ruang yang sering menenangkan hati saya. Bukan kerana apa yang pernah tersurat di sini, tetapi kerana ianya ibarat ruang kosong yang menerima apa sahaja yang dicurahkan, tanpa prejudis. Ia bagai telinga yang selalu sudi mendengar apa jua tempo keluhan, apa saja melodi perasaan.

Seumpama kata-kata Rumi: "Di luar batasan tanggapan yang benar mahupun yang salah, terdapat satu ruang. Di situ kita bertemu."

Sebagai manusia biasa, lumrah bagi kita mengimbau masa lalu dan menilai perjalanan kehidupan. Di usia di mana saya berada, berdasarkan pengalaman, saya merasakan adalah menjadi kewajipan saya untuk mengingatkan seramai mungkin manusia, sesiapa jua, bahawa hanya satu perkara yang paling bermakna dalam kehidupan ini - hubungan hati anda terhadap seorang manusia bergelar Kekasih Allah. Seorang yang perwatakannya dan perkataannya benar sebenar-benarnya sehingga membawa kepada gelaran Al-Amin.

Dalam kealpaan diri, terhoyong-hayangnya kadar iman bertukar-tukar, betapa kucar-kacir sekalipun rutin seharian, dengan cabaran dari luaran, ditokok keterbatasan kekuatan dalaman, wahai jiwa, kau capailah satu penawar hakiki. Penawar hakiki yang menyembuhkan, tiada lain selain ingatan kepada Taha, Ahmadur Rasulullah, Muhamadur Rasulullah.          

Apakala ingat, sebutlah namanya, sampaikanlah salam dan ucapan untuknya baginda salallah alaihi wasalam. Ingatan terhadapnya dan hati yang terkait kepadanya dengan amalan selawat, itulah satu-satunya penyelamat jiwa. Itulah satu-satunya penyejuk hati. Itulah satu-satunya yang paling bererti.

Apa saja yang berada di tangan kita baik harta, nama, ataupun kuasa, tiada nilainya, tidak sebanding nilai hubungan rohani kita kepada seorang yang sangat bererti. Maka carilah, pupuklah, dan peliharalah hubungan itu. Sejauh manapun diri tersasar, selama mana pun waktu yang telah dipersia, kembalilah kita semua kepada yang bererti.

- E. Ismail

   
Pic credit: Shabbir Siraj
https://www.flickr.com/photos/shabbir/3094170876 

No comments:

Post a Comment