Friday, May 31, 2013

Benar kata guru

Bismillah.

Malam ini malam yang dinaungi keinsafan kala mengenang betapa benar kata guru.

Teringat kata-kata Shaykh Fahmi Zamzam Al-Maliki tidak lama dulu dalam pengajian Al-Hikam yang sarat pengajaran hikmah yang tidak dapat disangkal hati mahupun fikiran.

Orang memandang diri kita baik adanya hanya kerna Allah melindungi keaiban kita. Dan teringat juga pesan Shaykh Fahmi yang dulu, agar jangan diungkit dosa kita yang lalu, jangan disebut-sebut lagi. Jangan pula bila Allah mengampuni kita dan menutupi aib kita yang lama, kita pula yang membukanya semula dan dengan tidak semena-mena menghidupkan lagi khilaf itu dengan menyebutnya kepada orang. Dan orang itu pula seolah menjadi saksi baharu kepada dosa kita.

Maha suci Allah, Dia mengetahui kesalahan kita setiap satu persatu, namun Dia masih menyayangi dan memberi kurniaNya. Sedangkan manusia asal saja mengetahui barang sedikit daripada keaiban kita, terus melarikan diri. Kita dianggap tidak cukup bersih biarpun sekadar sahabat. Tetapi Allah sebaliknya membersihkan diri kita dengan RahmatNya.

Maha suci Allah, semoga kita semua terus mendapat keampunan dan limpah kurniaNya.

Sekadar sebuah pesanan, janganlah menjauhi atau membenci sesiapa kerana masa silamnya kerana mungkin saja pengakhirannya lebih baik daripada apa yang bakal ditakdirkan Allah untuk kita.

Untuk sesiapa yang pernah mengenali saya sebelum ini dan yang mengetahui keburukan masa lalu saya, ketahuilah saya tidak mengharapkan hormat daripada kamu. Buanglah diri ini jauh-jauh jika itu dirasakan perlu. 

Kita semua akan kembali kepada Tuhan yang Satu dan kita sama-sama memerlukan keampunanNya, itu yang lebih utama. Hidup di dunia ini terlalu singkat untuk kita berseteru.

Yang cuba untuk menjadi ikhlas,
Eza


Al-Afuw by Hamid Iqbal Khan
http://www.redbubble.com/people/hamidsart



No comments:

Post a Comment