Saturday, October 19, 2019

Lelah tapi lucu

Bismillah.

Sungguhlah dunia ini melelahkan. Namun ada lucunya. Dan sudah pasti banyak pengajaran yang boleh dijadikan bahan renungan sampailah ke hari tua.

Pengalaman berada di alam maya selama 10 tahun telah menemukan saya dengan pelbagai jenis dan ragam manusia. Sehinggalah saat kelmarin, saya belajar satu lagi kisah orang yang mengaku dirinya sebagai pembaca setia naskah ini, yang dengan rela hatinya mengikuti saya di laman-laman maya yang lain, maka saya dengan ikhlas menghargainya, sehinggalah sesuatu yang melelahkan terjadi. 

Ianya lucu bagi saya kerana sudah acap kali berlaku, sampai saya merasakan apalah nasib penulis dan pengendali blog ini. [Ketawa sendirian].

Saya hanya sekadar berkongsi apa yang terlintas di kepala, atas dorongan hati, dengan barang sedikit kekuatan daripada Ilahi. Pastinya, karangan yang tidak bermutu adalah daripada kelemahan diri sendiri. Dan jika adapun perkongsian yang dianggap bernilai oleh khalayak ramai maka itu adalah hadiah daripada Yang Maha Esa untuk kita bersama.

Pada penghujung tahun 2018, oleh kerana kelelahan emosi yang agak melampau [ketawa] dan kesibukan saya sebagai pelajar maka saya mengambil keputusan untuk berhenti menulis di sini. Walaupun ada waktunya saya terkenangkan laman ini terutamanya pada tarikh istimewa 9 April 2019. Ketika itu saya berada di sebuah tempat yang sungguh indah dan istimewa di Abu Dhabi, di Masjid Agung Sheikh Zayed bersama ibu yang dikasihi. Pengalaman itu menjadi lebih manis kerana ia jatuh pada tarikh tersebut. Itulah tarikh saya mula menulis di sini.

Laman ini dimulakan hanya kerana saya teramat takjub dengan sebuah nama indah yang memikat hati iaitu Lisan al-Din. Ketika itu saya merasakan "Ya Allah, nama seindah ini harus terus dihidupkan selama yang mungkin." Tidak sepatutnya nama ini yang asalnya adalah nama sebuah kitab agama karangan Shaykh Ahmad Ibn Mustafa Al Alawi (1869-1934) dibiarkan hilang begitu saja.
  
Ketika itu, saya terdorong dengan kuasa yang datang entah dari mana untuk menghidupkan nama ini, biarpun saya tidak layak dan berkemampuan untuk menulis karangan ilmiah mahupun spiritual seperti majalah  Lisan al-Din yang diterbitkan oleh Shaykh Ahmad Al Alawi pada tahun 1912.

Semuanya hanya kerana sebuah nama.

Dan dengan usaha yang tidak seberapa, masa menjadi saksi kepada satu dekad yang berlalu dengan penuh liku. Menulis bukan kerana nama sendiri, tetapi untuk menghidupkan nama Lisan al-Din yang bunyinya saja cukup istimewa. Setelah 10 tahun, saya masih beranggapan bahawa laman ini tidaklah sebanding dengan nama yang dibawa. Walaubagaimanapun, tiadalah yang bernilai melainkan apa yang diiktiraf bernilai disisi Tuhan. Penilaian manusia adalah sirna.

Bercakap soal penilaian manusia, saya harap tiada lagi lelaki-lelaki, baik yang tua ataupun muda yang beriya-iya menghubungi saya hanya sekadar memberi pujian terhadap blog ini dan berkenalan dengan saya. Kerana hal ini telah membuatkan ramai wanita jadi cemburu yang bersangatan, seolah saya ini seorang wanita tua yang kesunyian yang akan merampas "hak" mereka. [Ketawa lagi].

Saya tidak tahu bagaimana mereka menggunakan "jambatan" yang mereka "punya" untuk mencari Syurga. Saya juga makhluk Allah yang diberikan "jambatan Syurga" saya sendiri. Bagi kamu agama kamu; bagi kami agama kami.

Mungkin lebih elok jika kita buka mata hati dengan lebih luas dan jangan membataskan pandangan kepada manusia yang Allah pinjamkan buat kita hanya untuk sementara.    

Dunia ini luas. Hati juga luas. Mungkin kita boleh menghalang seseorang daripada berhubungan secara zahir. Tetapi siapalah yang tahu apa yang dikandung hati? Bahkan kalau terputus dek kerana mati, sang hati yang hidup masih juga boleh menyimpan rasa rahsia kepada yang telah mati.

Kerenah dunia melelahkan.
Apakala istirehat dan mengimbas kembali perjalanan, pasti ada yang melucukan.
Di dalam kelucuan, ada pengajaran.


- E. Ismail

9 April 2019
Masjid Sheikh Zayed
Abu Dhabi

[Lisan al-Din 10 Tahun.
Shukur atas pengalaman]


p/s
Jika diberi umur dan kesempatan. Coretan ini akan memberi senyuman lagi buat saya, 10 tahun akan datang. InShaAllah.

Saya maafkan semua yang bersangka-buruk terhadap saya. Sangkaan anda tidak meninggalkan bekas yang buruk, bahkan menyumbangkan pahala percuma untuk diri yang faqir ini. Terima kasih.

2 comments:

  1. Hi sis, its me kak ani.sg bakap.we were lost in touch for a couple of years but i never fail to follow your blog...what more our minds are quite similar...the love for sometime beautiful Islam has brought up....

    ReplyDelete
  2. Salam Kak Ani,
    Of course I remember you : )
    Thank you Sis for your kind words and support.
    Luv,
    Eza

    ReplyDelete