Tuesday, February 26, 2013
Tiada yang berlebihan di hatiku
Bismillah.
Dunia ini luas
namun tidak dapat menampung DiaNya
hati ini zahirnya
sebesar jantung manusia cuma
namun boleh saja dihuni Dia
sebesar dan sehebat hakikat keesaanNya
Jika yang Maha Besar pun mampu ditampung
maka tidak benar takrifan berlebihan
bagi sebuah hati yang mempercayai
sementelah kasih sifatnya melimpah ruah
tanpa batasan, tiada sekatan
pabila kasih memuncak adanya
begitu jua rasa takzim, hormat, seraya memuliakan
Dari kemuncak wujud DiaNya
pastilah menurut kekasihNya - baginda
berikutan pula cucunda sekelian - habaibnya
semuanya pembawa risalah agama
dan panji Nabi termulia
Seribu tahun lebih sudah berlalu
tiada seraut wajah untuk mata menatap
tiada bunyi suara untuk telinga mendengar
tiada tangan mulia untuk disambut salam
Baginda berzaman-zaman berselisihan
Kita ini umat akhir zaman
gelaran bukan calang-calang cabaran
ke mana lagi mahu dicari
bekas-bekas ajaran, pancaran sunnah Nabi
kalau tidak pada zuriatnya sendiri?
Intai padi antara masak
esok jangan layu-layuan
Intai Nabi tiada nampak
yang tinggal hanya pewaris seruan
Kalau benar ada cinta di hati
pada Ya Rabbi, juga Nabi
Jika benar ada kasih di hati
pada habaib dan pencinta Ilahi
Biarlah sedemikian
tidak mungkin ianya berlebihan
yang batin tiada kan bersempadan
seluas-luas alam, dalam lagi lautan kalbu
di situ duduknya Tuhan
justeru, apa jua kata seteru
ketahuilah: tiada yang berlebihan di hatiku!
___________________________
- Nukilan seorang daripada berjuta yang menyayangi habaib atas dasar menyayangi Nabi Muhammad salallah alaihi wasalam.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment